Thursday, 13 September 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


Baru-baru ini, Menteri Pelajaran Malaysia telah membentangkan satu pelan baru untuk kesinambungan pendidikan di Malaysia. dalam pembentangan yang mengambil masa kira-kira 25 minit itu, Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah diperjelaskan. anjakan-anjakan yang diberikan ini diharap dapat melonjakkan sistem pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi.
Antara anjakan-anajakan yang telah digariskan dalam pelan itu ialah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun di mana :-
  • Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas.
  •  Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem.
  •  Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.
Pelan ini turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sunday, 9 September 2012

Pastikan anda mematuhi semua peraturan yang telah digariskan... Doa kami sentiasa bersama anda... Kejayaan anda, Kebanggaan kami.

Saturday, 8 September 2012



Anak-anak berdebar ketika mengambil peperiksaan? Itu perkara biasa... dalam masa yang sama ibubapa juga tidak ketinggalan merasai debaran yang sama. Namun kematangan ibubapa insyaAllah dapat menangani "demam peperiksaan" yang bakal dihadapi. 
Pada waktu dan ketika ini,  peranan ibu bapa amat penting dan tidak boleh disangkal pada ketika anak-anak mereka akan berdepan dengan suasana peperiksaan. Sesetengah ibubapa menganggap perkara-perkara ini adalah perkara yang remeh namun,anak-anak yang sedang berada di bangku sekolah ini amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa di dalam meyakinkan mereka menghadapi peperiksaan dengan baik.
Seorang guru Kaunseling, Rusman Dulamit telah menggariskan beberapa tips yang penting bagi diamalkan oleh ibubapa untuk membantu anak-anak mereka bagi menghadapi peperiksaan. Semoga perkara yang baik ini dapat diamalkan bagi kebaikan dan manfaat anak-anak kita.
  • Sentiasa bersama anak-anak
  • Melahirkan kasih sayang
  • Memberi nasihat/panduan yang berhemah
  • Meraikan anak-anak pergi dan balik dari sekolah
  • Memberatkan pendidikan agama di rumah
  • Terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak
  • Mengatur masa rehat dan riadah anak-anak
  • Menggalakkan dan menyediakan suasana membaca
  • Menunjukkan contoh-contoh yang terbaik kepada anak-anak
  • Meluangkan masa dan bergurau senda dengan anak-anak
  • Mengujudkan komunikasi yang baik dengan anak-anak
  • Menggunakan bahasa yang betul ketika bersama anak-anak
  • Menunaikan janji kepada anak-anak
  • Menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak
  • Berminat untuk melayan pertanyaan anak-anak
  • Memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak
  • Tidak mengancam dan menakutkan anak-anak
  • Makan bersama anak-anak
  • Tidak memberikan hukuman yang akan mendatangkan kesan psikologi kepada anak-anak
  • Memberikan nasihat kepada anak-anak
  • Memberikan penghargaan kepada anak-anak
  • Bersikap tegas dan terbuka ketika mendidik anak-anak
  • Membantu anak-anak membuat jadual belajar yang betul
  • Berbincang dengan guru mengenai prestasi akademik dan disiplin anak-anak
  • Berbincang dengan anak-anak cara menangani masalah
  • Sentiasa bersedia mendengar masalah anak-anak
  • Sentiasa memantau pergerakan anak-anak
  • Menemani anak-anak ketika belajar
  • Membimbing anak-anak ketika berada di dewan peperiksaan
  • Mendoakan kejayaan anak-anak

Sebagai tambahan, mungkin ibubapa boleh turut berpuasa pada hari anak-anak mengambil peperiksaan dan mengamalkan perkara-perkara sunat yang lain. Semoga dengan amalan yang dilakukan dapat membantu anak-anak dari jauh dan seterusnya mendapat kejayaan yang diidamkan.

TIPS..


Persediaan saat akhir untuk kalian~

Thursday, 6 September 2012

Tazkirah Sempena Majlis Redha Ilmu


Menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam. Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai material dan kemanusiaan. Melalui al-Quran banyak ditekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis nabi yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan.
Apa yang mesti kita sedar dalam menimba ilmu pengetahuan ialah mengenai adab yang mesti kita jaga agar kita menjadi orang berilmu dan beradab. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk menerima ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain. Kita dapat lihat bagaimana sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri melalui sebuah kisah sebagai renungan bersama di mana Khalifah Harun al-Rasyid yang amat masyhur ketika datang ke Mekah untuk menunaikan haji maka baginda tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Madinah. Setelah tiba di Madinah baginda ingin bertemu dengan imam Malik untuk belajar secara langsung daripada beliau berkenaan kitabnya yang paling masyhur iaitu Muwatta’.
Ketika pesuruh khalifah datang menemui imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau dengan tegas menjawab : “ Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang”. Akhirnya khalifah datang sendiri berkunjung ke rumah imam Malik untuk belajar. Semasa berada di rumah imam Malik lalu disampaikan maksud kedatangannya itu iaitu untuk belajar kitab Muwatta’. Ketika mahu belajar maka didapati hanya satu kerusi sahaja yang ada di ruangan tempat belajar lalu imam Malik dengan tegas menyatakan :” Kerusi itu untuk guru dan jika engkau datang untuk belajar maka duduklah bersama dengan murid yang lain”. Maka dengan hati terbuka khalifah pun duduk bersama dengan murid imam Malik yang lain untuk belajar kitab Muwatta’.Jika rasa rendah diri dan menghormati guru tidak ada maka sudah tentu khalifah Harun al-Rasyid tidak mampu menimba ilmu pengetahuan daripada imam Malik.Baginda telah membuang rasa megah dengan kedudukan sebagai khalifah dengan duduk bersama murid imam Malik yang lain untuk sama-sama belajar. Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik disamping mendapat keberkatan hasil keredhaan guru.
Pelajar juga mesti duduk dalam keadaan beradab apabila belajar dan jangan lakukan sesuatu perkara yang boleh menyentuh hati guru. Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi.
Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.
Pelajar juga tidak boleh berdendam kepada gurunya sehingga hilangnya perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidiknya. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya. Tegurlah guru dengan cara yang sopan jika dia tersilap. Kita pernah mendengar kisah bagaimana ada seorang Putera Mahkota seorang khalifah yang bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai khalifah telah dibawa kepada seorang guru yang alim untuk belajar ilmu pengetahuan. Putera Mahkota ini merupakan seorang yang cerdik dan elok budi pekertinya.
Pada suatu hari gurunya telah merotannya tanpa sebab tetapi beliau tidak terus bertanya kepada gurunya itu mengenai perkara tersebut. Setelah beliau besar dan dilantik menjadi khalifah lalu dipanggilnya gurunya itu serta disoal tentang sebab beliau dirotan sedangkan beliau tidak membuat apa-apa kesalahan. Lalu dengan tegas gurunya menyatakan bahawa perbuatannya itu merupakan suatu pengajaran agar anak muridnya itu tidak menyakiti hati rakyat jelata walau pun dengan perkara yang kecil setelah menjadi khalifah nanti kerana doa orang yang dizalimi merupakan doa yang maqbul.Sebagaimana khalifah itu boleh mengingati tindakan gurunya itu maka begitulah juga dengan rakyat yang dizalimi akan mengingati kezaliman khalifah walau pun kecil. Mendengar penjelasan gurunya itu lalu khalifah itu mengucapkan terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberi selama ini.

Wednesday, 5 September 2012

Ulasan Jurnal



AMALAN KEPIMPINAN TRANSFORMASI DAN KAPASITI KEPIMPINAN DI DUA BUAH SEKOLAH KLUSTER DI MALAYSIA.

Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji hubungan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua dengan kapasiti kepimpinan guru di dua buah sekolah kluster. Selain itu beberapa soalan kajian perlu dijawab antaranya:
·         Perbezaan amalan kepimpinan transformasi pengetua dengan sekolah kajian.
·         Perbezaan kapasiti kepimpinan guru antara sekolah kajian.
·         Dimensi kepimpinan transformasi yang menjadi peramai signifikan bagi tahap kapasiti kepimpinan guru di sekolah kajian.
Kajian ini berbentuk kajian deskritif dan dijalankan menggunakan pendekatan tinjauan. Kaedah kuantitatif telah digunakan dengan mengedarkan boring soal selidik kepada responden bagi mendapatkan data kajian yang terdiri daripada 93 orang guru di dua buah sekolah kluster yang terletak di utara semenanjung Malaysia.
Dalam kajian yang telah dilakukan ini, pengkaji telah menggunakan Model Kapasiti Kepimpinan bagi empat jenis sekolah yang telah dipelopori oleh Lambert (1998). Teori ini dengan jelas telah menyatakan bahawa dua dimensi yang membina kapasiti kepimpinan guru ialah dimensi penyertaan dan kemahiran dan keperluan model ini menjadi garis panduan dalam menjelaskan kepentingan kepimpinan terhadap keberkesanan sekolah. Gabungan dua dimensi ini jika diaplikasikan dengan sempurna akan menghasilkan sekolah yang cemerlang dan berkesan.
Dapatan kajian yang telah diperolehi oleh pengkaji dalam kajian ini telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang nyata dalam amalan kepimpinan transformasi di dua buah sekolah tersebut. Namun dalam aspek kepimpinan guru di sekolah, dapatan kajian menunjukkan kedua-dua sekolah berada pada tahap yang sama. Kajian juga telah mendapati bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasi dengan kapasiti kepimpinan guru di sekolah kajian.
Dapatan kajian yang telah diperolehi telah dibincangkan oleh pengkaji. Terdapat perbezaan yang signifikan antara dua buah sekolah tersebut bagi pengamalan kepimpinan transformasi pengetua. Bagi sekolah yang mengamalkan kepimpinan transformasi yang tinggi, staf di bawah pimpinan pengetua tersebut akan member komitmen dan kerjasama pada tahap yang tinggi (Leithwood & Jantzi, 2000). Kapasiti kepimpinan yang berada pada tahap yang sederhana juga tidak memeranjatkan pengkaji kerana dapatan Halijah (2004) menunjukkan guru-guru di sekolah bestari juga mengamalkan cirri-ciri kapasiti kepimpinan ini pada tahap yang sederhana.
Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara amalan kepimpinan transformasi pengetua dengan tahap kapisiti kepimpinan guru. Pengkaji telah menyatakan bahawa sekolah kluster yang dipilih berbeza aspek kecemerlangannya iaitu sekolah A ialah sekolah premier yang cemerlang dalam bidang kokurikulum manakala sekolah B pula cemerlang dalam bidang persatuan. Maka perbezaan niche area ini tidak menunjukkan keseluruhan aspek kerana sebilangan kecil sahaja guru yang terlibat dalam menjayakan bidang-bidang tersebut. Secara tidak langsung turut mempengaruhi kapasiti kepimpinan guru pada tahap yang sederhana. Selain itu juga, sekolah-sekolah dalam kajian ini baru dinobatkan sebagai sekolah kluster maka amalan PBS masih tidak diamalkan secara meluas maka pengaruh amalan kepimpinan transformasi terhadap kepimpinan guru masih lemah.

Jurnal yang diulas ialah Peranan Pengetua Sebagai Pengurus Kokurikulum di Sekolah Menengah Daerah Mersing oleh Aziah Ismail, Abdul Ghani Kanesan Abdullah & Abdullah Saad.  Mohd Anuar Abdul Rahman & Nor Azah Azman. 2011    

Tuesday, 4 September 2012

SEKOLAH BERKUALITI: FAKTOR, KESAN DAN CABARAN.



ABSTRAK

Sekolah sebagai institusi pendidikan mempunyai strategi sendiri dalam meningkatkan kualiti dalaman dan luaran mereka. Namun pengurusan sekolah sering memperkatakan tentang masalah kualiti tetapi usaha serta pengamalan kualiti masih samar dan tidak begitu jelas kepada mereka. Banyak konsep yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam memperbaiki sistem kualiti pendidikan negara. Pada tahun 80-an pula, sektor awam pula telah memperkenalkan konsep Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK). Kemudian, Konsep Sekolah Berkualiti, Total Quality Management (TQM), The Good High School, pergerakan Pembaikan Sekolah (School Improvement Movement) dan pergerakan Sekolah Efektif telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Sekiranya pihak sekolah melaksanakan sistem kualiti maka akan wujud kualiti menyeluruh yang menggabungkan pembangunan individu, pembangunan ilmu, dan pembangunan organisasi yang dijamin dan dimantapkan dalam satu sistem yang difahami oleh semua warga sekolah dan masyarakat. Namun sejauh manakah konsep ini difahami dan dihayati oleh pihak-pihak yang terlibat dengan institusi pendidikan terutamanya sekolah? Kertas konsep ini akan membincangkan tentang konsep kualiti dalam bidang pendidikan. Selain itu, faktor-faktor yang membantu untuk meningkatkan kualiti bidang pendidikan juga turut dibincangkan. Turut dijelaskan dalam artikel ini juga ialah bagaimana sekolah yang berkualiti dapat meningkatkan kecemerlangan serta cabaran yang dihadapi oleh institusi pendidikan.

(berikut adalah sebahagian daripada penulisan yang dibentangkan di Universiti Pendidikan Indonesia)